Universiti Dalam Kehidupanku

Memikirkan sejak dari kecil lagi aku bercita- cita untuk melanjutkan pelajaranku ke universiti, aku gagahkan jua semangatku untuk terus berjuang di dalam usaha mencapai cita- citaku. Ramai yang mengajukan soalan kepadaku, mengapa universiti? bukan ke maktab perguruan mahupun politeknik? Aku hanya mampu tersenyum dan menjawab "kerana itu adalah cita- cita kedua orang tuaku".
Berbekalkan keputusan yang cemerlang ketika mengambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia semasa di tingkatan enam, Alhamdulillah aku berjaya mencapai cita- citaku dan kedua orang tuaku untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Universiti Utara Malaysia menjadi pilihanku. Sekali lagi ditanya mengapa universiti tersebut menjadi pilihanku? Universiti Utara Malaysia menjadi pilihanku kerana aku terlalu menyukai sawah padi. Walaupun agak tidak logik jawapanku itu, tapi sememangnya itu alasanku yang paling kukuh. Sekarang aku bergelar sebagai salah seorang mahasiswa di Universiti Utara Malaysia. Sudah semestinya aku berbangga.
Semenjak aku menuntut di universiti,aku mempunyai pandangan yang berbeza tentang universiti berbanding sewaktu zaman persekolahanku. Jika dahulu semasa zaman persekolah, aku ingin melanjutkan pelajaran ke universiti hanya kerana aku ingin memiliki segulung ijazah, dan pada pandanganku dengan memiliki segulung ijazah, ia akan memudahkan aku untuk mendapat pekerjaan yang bagus. Namun persepsiku ternyata berubah sejak menuntut di universiti.
Pada pandanganku sejak bergelar mahasiswa, universiti sememangnya tempat untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang tertinggi di samping bertujuan untuk menambah ilmu pengetahuan. Tetapi universiti juga tempat bermula segalanya. Di universiti, aku belajar untuk hidup berdikari seorang diri dan hanya ditemani sahabat handai kerana kedua orang tuaku jauh menetap di selatan tanah air.
Di universiti juga aku belajar untuk mengenali dan membezakan yang mana baik dan yang mana buruk, kerana aku dikelilingi oleh manusia yang berbeza latar dariku. Sekiranya aku tidak cukup bijak untuk membezakan yang mana baik dan yang mana buruk, pasti aku akan terjerumus sama dalam sesetengah perilaku yang tidak sihat. Aku juga menimba banyak ilmu dan pengetahuan bukan sahaja tentang pelajaran semata- mata tetapi juga tentang pengalaman hidup mahasiswa mahupun pensyarah lain. Mendengar pengalaman berbeza dari latar yang berbeza cukup membuat aku berasa teruja dan gembira. Selain itu, aku belajar cara untuk hidup berkumpulan. Aku perlu menyesuaikan diri dengan rakan- rakan kuliahku serta berusha untuk berkomunikasi dengan rakan- rakan lain.
Univeriti sememangnya membawa 1001 makna dalam kehidupanku, dan aku hanya berharap diriku terus tabah dalam mengharungi segala ujian yang diberikan ALLAH kepadaku bagi meneruskan cita- citaku dan kedua orang tuaku. AAMIIN