Semakin aku membesar, semakin aku mengerti kewajaran menjadikan ibu sebagai seorang idola. Ya, sekarang aku mengerti,dan sekarang ibu adalah idolaku. Mengapa? Tiada ibu, tiadalah aku. Tiada ayah, tiadalah aku. Tiada mereka, tiadalah aku.
Aku sering meletakkan diriku di tempat ibu. Mampukah aku kuat untuk membawa nyawa lain didalam perutku selama sembilan bulan kemudian berjuang dengan separuh nyawaku untuk melahirkannya? Tabahkah diriku dalam membesarkan serta mendidik anak kecil yang ibaratnya seperti kain putih, sehingga mereka dewasa dan menjadi orang dewasa kelak? Kuatkah aku menahan rasa saat terluka dan dilukakan anak sendiri tanpa mempamerkan perasaanku secara zahir, semata tidak mahu anakku dibebani rasa bersalah? Ya,aku tidak boleh. Hanya ibu yang mampu. Hanya ibu yang kuat. Hanya ibu yang tabah.
Ibu mengandungkan aku, ibu melahirkan aku, ibu membesarkan aku, ibu mendidik aku dan ibulah orang yang sering ada di saat aku suka dan duka serta di saat aku senang dan susah. Aku yakin, tiada siapa yang mampu jadi seperti ibuku. Hatta pemimpin tertinggi negara sekalipun tidak mampu menjadi seperti ibu dan tidak sanggup memegang tanggungjawab sebesar tanggungjawab ibu. Ya, ibu idolaku dan aku berbangga menjadikan ibu sebagai idolaku.