Sukarelawan Kerjaya Idamanku

Sukarelawan. Aku sering sahaja diajukan soalan dari rakan- rakanku sekiranya aku mengutarakan kehendakku yang di katakan agak pelik bagi mereka. "Mengapa sukarelawan? mengapa tidak doktor, jurutera,ataupun usahawan sahaja? pekerjaan itu lebih menguntungkan berbanding sukarelawan yang tidak mampu membawa apa- apa pulangan besar kepadamu, paling tidak pun menjadi seorang setiausaha sudah cukup baik seiringan dengan taraf pendidikan yang kamu miliki". 
Aku berfikir sejanak, mungkin ada betulnya pandangan rakanku itu. Sekiranya aku menjadi seorang doktor, jurutera mahupun usahawan, paling tidak gajiku setiap bulan akan mencecah empat angka. Pasti aku mampu mempunyai kereta besar, rumah besar, dan dapat membahagiakan kedua orang tuaku. Tetapi, mampukah aku bahagia dengan hidup yang bakal aku jalani sekiranya aku mempunyai kerjaya yang hebat, sedangkan sejak dari kecil lagi aku terlalu ingin menjadi seorang sukarelawan.
Sememangnya sejak dari kecil lagi aku ingin menjadi seorang sukarelawan. Hatiku melonjak- lonjak bahagia setiap kali melihat sukarelawan memberikan bantuan kepada pihak yang memerlukan di dalam televisyen. Terlalu murni bagiku sekiranya kita memberikan bantuan kepada pihak yang memerlukan. Perkara itulah yang membuatku bahagia dan terlalu ingin menjadi seorang sukarelawan.


Aku sedar, tidak ramai orang yang ingin menjadi sukarelawan kerana memikirkan risiko yang perlu dihadapi. Sekiranya menjadi seorang sukarelawan, tidak akan ada pulangan duit mahupun hadiah setelah memberi bantuan. Hanya ada ucapan terima kasih dan senyuman sahaja yang datang dari mulut orang yang diberi bantuan. Aku sedari juga dengan ucapan terima kasih dan senyuman sahaja tidak mampu memberiku makan  setiap bulan, membeli pakaian setiap bulan serta menyara keluargaku setiap bulan. Tetapi bagiku, mencapai kepuasan adalah lebih penting berbanding semua itu. Cukup dengan rasa sejuk dan tenang hati melihat orang lain gembira. Semua itu cukup untuk memberi kepuasan dalam hidupku.
Sememangnya, sukarelawan adalah sesuatu pekerjaan yang  tidak mengharapkan balasan daripada sesiapa. Tambahan lagi kerjaya ini adalah mulia di sisi Allah S.W.T. lebih- lebih lagi kita sebagai umat islam digalakkan melakukan kerja- kerja amal. Rasanya tidak salah bagiku untuk memilih kerjaya sebagai seorang sukarelawan selagi aku mampu kerana bagiku kerjaya ini sangat mulia.