Mengapa Ibu Menjadi Idolaku?

Jujur ku katakan dahulu semasa aku kecil, aku tidak mengerti mengapa ibu wajar dijadikan idola? Apakah sumbangan ibu sehingga boleh dijadikan idola. Ibu bukan sesiapa pun kepada dunia. Ibu tidak pernah memberikan apa- apa sumbangan kepada dunia. Lebih- lebih lagi ibuku hanyalah seorang suri rumah!
Semakin aku membesar, semakin aku mengerti kewajaran menjadikan ibu sebagai seorang idola. Ya, sekarang aku mengerti,dan sekarang ibu adalah idolaku. Mengapa? Tiada ibu, tiadalah aku. Tiada ayah, tiadalah aku. Tiada mereka, tiadalah aku.
Aku sering meletakkan diriku di tempat ibu. Mampukah aku kuat untuk membawa nyawa lain didalam perutku selama sembilan bulan kemudian berjuang dengan separuh nyawaku untuk melahirkannya? Tabahkah diriku dalam membesarkan serta mendidik anak kecil yang ibaratnya seperti kain putih, sehingga mereka dewasa dan menjadi orang dewasa kelak? Kuatkah aku menahan rasa saat terluka dan dilukakan anak sendiri tanpa mempamerkan perasaanku secara zahir, semata tidak mahu anakku dibebani rasa bersalah? Ya,aku tidak boleh. Hanya ibu yang mampu. Hanya ibu yang kuat. Hanya ibu yang tabah.
Ibu mengandungkan aku, ibu melahirkan aku, ibu membesarkan aku, ibu mendidik aku dan ibulah orang yang sering ada di saat aku suka dan duka serta di saat aku senang dan susah. Aku yakin, tiada siapa yang mampu jadi seperti ibuku. Hatta pemimpin tertinggi negara sekalipun tidak mampu menjadi seperti ibu dan tidak sanggup memegang tanggungjawab sebesar tanggungjawab ibu. Ya, ibu idolaku dan aku berbangga menjadikan ibu sebagai idolaku.

Sukarelawan Kerjaya Idamanku

Sukarelawan. Aku sering sahaja diajukan soalan dari rakan- rakanku sekiranya aku mengutarakan kehendakku yang di katakan agak pelik bagi mereka. "Mengapa sukarelawan? mengapa tidak doktor, jurutera,ataupun usahawan sahaja? pekerjaan itu lebih menguntungkan berbanding sukarelawan yang tidak mampu membawa apa- apa pulangan besar kepadamu, paling tidak pun menjadi seorang setiausaha sudah cukup baik seiringan dengan taraf pendidikan yang kamu miliki". 
Aku berfikir sejanak, mungkin ada betulnya pandangan rakanku itu. Sekiranya aku menjadi seorang doktor, jurutera mahupun usahawan, paling tidak gajiku setiap bulan akan mencecah empat angka. Pasti aku mampu mempunyai kereta besar, rumah besar, dan dapat membahagiakan kedua orang tuaku. Tetapi, mampukah aku bahagia dengan hidup yang bakal aku jalani sekiranya aku mempunyai kerjaya yang hebat, sedangkan sejak dari kecil lagi aku terlalu ingin menjadi seorang sukarelawan.
Sememangnya sejak dari kecil lagi aku ingin menjadi seorang sukarelawan. Hatiku melonjak- lonjak bahagia setiap kali melihat sukarelawan memberikan bantuan kepada pihak yang memerlukan di dalam televisyen. Terlalu murni bagiku sekiranya kita memberikan bantuan kepada pihak yang memerlukan. Perkara itulah yang membuatku bahagia dan terlalu ingin menjadi seorang sukarelawan.


Aku sedar, tidak ramai orang yang ingin menjadi sukarelawan kerana memikirkan risiko yang perlu dihadapi. Sekiranya menjadi seorang sukarelawan, tidak akan ada pulangan duit mahupun hadiah setelah memberi bantuan. Hanya ada ucapan terima kasih dan senyuman sahaja yang datang dari mulut orang yang diberi bantuan. Aku sedari juga dengan ucapan terima kasih dan senyuman sahaja tidak mampu memberiku makan  setiap bulan, membeli pakaian setiap bulan serta menyara keluargaku setiap bulan. Tetapi bagiku, mencapai kepuasan adalah lebih penting berbanding semua itu. Cukup dengan rasa sejuk dan tenang hati melihat orang lain gembira. Semua itu cukup untuk memberi kepuasan dalam hidupku.
Sememangnya, sukarelawan adalah sesuatu pekerjaan yang  tidak mengharapkan balasan daripada sesiapa. Tambahan lagi kerjaya ini adalah mulia di sisi Allah S.W.T. lebih- lebih lagi kita sebagai umat islam digalakkan melakukan kerja- kerja amal. Rasanya tidak salah bagiku untuk memilih kerjaya sebagai seorang sukarelawan selagi aku mampu kerana bagiku kerjaya ini sangat mulia.

Sahabatku Bermakna Dalam Hidupku

Benar sekali, teman menangis memang sukar dicari tetapi teman ketawa terlalu ramai. Hanya beberapa orang sahaja yang sanggup meminjamkan bahu mereka dikala kita kecewa, sedih dan dilanda duka. Mereka inilah yang aku anggap sebagai teman- teman yang hebat. Aku percaya teman sejiwa bukan sekadar definisi untuk pasangan atau suami sahaja, tetapi juga untuk teman rapat. Kalau teman rapat tidak sejiwa, tentu sahaja tidak dinamakan sahabat.

Aku percaya paling penting dalam bersahabat ialah saling percaya. Jangan tinggalkan mereka disaat mereka sedang memerlukan dan mereka juga yang akan menegur kita apabila kita tersasar. Malahan mereka juga yang membawakan ceria bersama kita dikala kita susah mahupun senang. Bukan tidak pernah berselisih pendapat, tetapi akan tetap mencari penyatuan.
Mempunyai satu sahabat sejati lebih bermakna daripada seribu teman yang mementingkan diri sendiri. Semua yang kita alami demi teman kadang- kadang melelahkan dan menjengkelkan, tetapi itulah yang membuat persahabatan mempunyai nilai yang indah. Semua orang pasti mahukan sahabat sejati, namun tidak semua orang mampu mendapatkannya. Ramai pula orang yang telah menikmati indahnya persahabatan, namun ada juga yang hancur kerana dkhianati sahabat sendiri.

Makna Cintaku ~~~


Percintaan sudah tentu dikaitkan dengan rasa kasih sayang. Menggambarkan bahawa bila menyebut cinta sudah tentu akan ada rasa kasih sayang kepada seseorang. Bila mencintai seseorang, tersiratnya anda mempunyai rasa sayang yang ikhlas dan menerima diri pasangan anda seadanya. Anda hanya memikirkan dirinya, perkongsian hidup bersamanya dan juga kebahagian masa depan bersamanya.
Cinta terlalu kompleks untuk dihuraikan. Kerana cinta membawa pelbagai istilah yang memberikan maksud yang berbeza. Dalam satu pepatah arab, mendifinisikan cinta itu pekak dan buta. Rasa cinta yang terlalu mendalam akan memekakkan telinga kita untuk menerima segala nasihat dari orang lain. Segala keputusan kebanyakannya diputuskan sendiri. Cinta juga akan membutakan mata untuk melihat kelemahan- kelamahan pada diri orang yang dicintai sekalipun nampak jelas dimata orang lain.
Cinta mampu memberikan rasa gembira kepada pasangan, tetapi cinta juga memberikan luka yang sukar diubati. Cinta membahagiakan apabila berjaya hidup bersama pasangan dan amat memedihkan bila gagal. Itulah kelebihan dan kelemahan cinta. Kerana pengertian cinta selalunya hanya disandarkan kepada manusia. Manusia tidak sempurna. Jika pengertian cinta ini disandarkan kepada ALLAH Yang Esa, sudah pasti tidak akan wujud istilah putus cinta.

Isu antarabangsa : Jenayah Pemerdagangan Orang

Aku kira agak gerun apabila mendengar isu ini. JENAYAH PEMERDANGAN ORANG. Gerun sekiranya aku atau orang yang ku kenali menjadi mangsa. Bagaimana agaknya rasa apabila menjadi mangsa pemerdagangan? tidak dapat ku bayangkan.
Jenayah pemerdagangan orang sangat kompleks kerana ia adalah jenayah terancang dan bersifat rentas sempadan yang bukan sahaja berlaku di Malaysia, sebaliknya isu yang bersifat global membabitkan semua negara di dunia dan banyak melibatkan negara maju. Majoriti mangsa adalah wanita yang diperdgangkan bagi tujuan eksploitasi seks komersial.
Menurut kajian Pertubuhan Buruh Antarabangsa yang pernah ku baca dulu, telah dianggarkan seramai 12.3 juta orang yang bekerja sebagai buruh paksa, buruh tebus hutang, buruh paksa kanak- kanak dan abdi seks pada sesuatu masa. Sebahagian dijadikan pelacur. Mereka akan dikurung, dibiar kelaparan, dipukul dan diugut dengan pistol, sehingga mereka akur untuk melayan pelanggan mereka atau akur dengan tugasan yang diberi, termasuk mengemis dan sebagainya. Kejamnya dunia masa kini.
Perkara yang paling kukesali dan mendatangkan kemarahanku apabila ada di sesetengah negara, penjualan kanak- kanak ini disengajakan dan didalangi sendiri oleh ibubapa mereka kerana faktor kemiskinan yang membebani. Anak- anak dijual bagi mendapatkan sesuap nasi bagi seisi keluarga. Bagiku wajarkah menjual anak- anak yang telah dikandung selama sembilan bulan semata- mata untuk mengisi perut yang lain? Ku kira banyak lagi pekerjaan yang boleh dilakukan bagi menyara  keluarga.
Malaysia juga tidak terkecuali daripada aktiviti perhambaan alaf baru ini. Keunikan Malaysia kerana terletak di tengah- tengah Asia Tenggara menjadikan penyeludup memilih negara ini sebagai negara transit. Mudahnya negara asing mempergunakan Malaysia. Di Malaysia sebahagian besar mangsa pemerdangan manusia terdiri dikalangan 2 juta pekerja asing sah dan 1.9 juta pekerja asing tanpa izin (PATI). Namun sesetengah mereka akan dieksploitasi, dipaksa bekerja tanpa secara rela atau bekerja kerana terikat dengan hutang.
Dalam usaha membanteras jenayah ini pihak kerajaan memerlukan kerjasama maksimum daripada orang awam. Walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh agensi berkaitan, namun usaha ini tidak akan dapat mencapai kejayaan sekiranya tanpa bantuan masyarakat keseluruhan. Wajar dilaksanakan program 'Selamatkan Manusia'.

Universiti Dalam Kehidupanku

Memikirkan sejak dari kecil lagi aku bercita- cita untuk melanjutkan pelajaranku ke universiti, aku gagahkan jua semangatku untuk terus berjuang di dalam usaha mencapai cita- citaku. Ramai yang mengajukan soalan kepadaku, mengapa universiti? bukan ke maktab perguruan mahupun politeknik? Aku hanya mampu tersenyum dan menjawab "kerana itu adalah cita- cita kedua orang tuaku".
Berbekalkan keputusan yang cemerlang ketika mengambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia semasa di tingkatan enam, Alhamdulillah aku berjaya mencapai cita- citaku dan kedua orang tuaku untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Universiti Utara Malaysia menjadi pilihanku. Sekali lagi ditanya mengapa universiti tersebut menjadi pilihanku? Universiti Utara Malaysia menjadi pilihanku kerana aku terlalu menyukai sawah padi. Walaupun agak tidak logik jawapanku itu, tapi sememangnya itu alasanku yang paling kukuh. Sekarang aku bergelar sebagai salah seorang mahasiswa di Universiti Utara Malaysia. Sudah semestinya aku berbangga.
Semenjak aku menuntut di universiti,aku mempunyai pandangan yang berbeza tentang universiti berbanding sewaktu zaman persekolahanku. Jika dahulu semasa zaman persekolah, aku ingin melanjutkan pelajaran ke universiti hanya kerana aku ingin memiliki segulung ijazah, dan pada pandanganku dengan memiliki segulung ijazah, ia akan memudahkan aku untuk mendapat pekerjaan yang bagus. Namun persepsiku ternyata berubah sejak menuntut di universiti.
Pada pandanganku sejak bergelar mahasiswa, universiti sememangnya tempat untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang tertinggi di samping bertujuan untuk menambah ilmu pengetahuan. Tetapi universiti juga tempat bermula segalanya. Di universiti, aku belajar untuk hidup berdikari seorang diri dan hanya ditemani sahabat handai kerana kedua orang tuaku jauh menetap di selatan tanah air.
Di universiti juga aku belajar untuk mengenali dan membezakan yang mana baik dan yang mana buruk, kerana aku dikelilingi oleh manusia yang berbeza latar dariku. Sekiranya aku tidak cukup bijak untuk membezakan yang mana baik dan yang mana buruk, pasti aku akan terjerumus sama dalam sesetengah perilaku yang tidak sihat. Aku juga menimba banyak ilmu dan pengetahuan bukan sahaja tentang pelajaran semata- mata tetapi juga tentang pengalaman hidup mahasiswa mahupun pensyarah lain. Mendengar pengalaman berbeza dari latar yang berbeza cukup membuat aku berasa teruja dan gembira. Selain itu, aku belajar cara untuk hidup berkumpulan. Aku perlu menyesuaikan diri dengan rakan- rakan kuliahku serta berusha untuk berkomunikasi dengan rakan- rakan lain.
Univeriti sememangnya membawa 1001 makna dalam kehidupanku, dan aku hanya berharap diriku terus tabah dalam mengharungi segala ujian yang diberikan ALLAH kepadaku bagi meneruskan cita- citaku dan kedua orang tuaku. AAMIIN